Berpesta selepas menuai
Selepas padi dituai, seluruh penduduk kampung di Sungai Besar, Selangor tidak sabar untuk berpesta dengan pelbagai aktiviti tradisional di petak sawah.

TIDAK lengkap musim menuai padi tanpa pesta. Selepas penduduk kampung berpenat lelah menuai padi, inilah masanya untuk mereka bersuka ria.
Yang pastinya, pesta itu lazim diraikan semua penduduk kampung tanpa mengira usia mahupun jantina. Mengadakan pelbagai aktiviti, ia mengeratkan lagi jalinan silaturahim sesama mereka.
Pada minggu lalu, penduduk kampung Sungai Besar, Sabak Bernam, baru sahaja selesai menuai padi di petak sawah masing-masing. Di Homestay Air Manis Sungai Besar, misalnya, semua penduduk sedia meraikan pesta menuai dengan kehadiran pelawat yang datang dari Kuala Lumpur.
Pesta disambut meriah selama dua hari dan beberapa buah kanopi untuk tetamu berteduh turut didirikan.
Malah, dari jauh sudah kelihatan orang kampung mundar-mandir sekitar kawasan petak sawah padi di pekarangan Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar. Bukan itu sahaja, tetamu yang datang juga perlu dipastikan tidak pulang kecewa dan sama-sama dapat merasakan kemeriahannya.
Wau
Bagi penduduk kampung Sungai Besar, bermain wau adalah permainan wajib setiap kali pesta menuai diadakan. Wau yang dilayangkan pula semestinya wau tradisional negeri Selangor iaitu Wau Kapal.
Individu yang paling disegani penduduk kampung itu pastinya Wak. Wak atau nama sebenarnya Marnun Mansor, 58, bertugas memantau permainan tersebut.
Wak yang merupakan anak jati kampung itu bukan sahaja pakar menghias wau, malah dia adalah satu-satunya individu yang tinggal di Selangor yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai wau.

WAK amat mencintai permainan wau.
Wak juga merupakan salah seorang pengadil bagi pertandingan wau peringkat antarabangsa dan guru kepada anak-anak yang ingin mendalami ilmu mengenai wau.
Berperwatakan santai dan ramah, Wak yang ditemui ketika mengadili pertandingan wau sempat menunjukkan kepada penulis bagaimana mengadili pertandingan itu.
"Macam ini nak kira... kalau dia terbang tinggi, dialah juara... kalau wau jatuh, tolak mata..," jelas Wak mengenai pengadilan markah untuk pertandingan wau. Pada masa itu, penulis belum pun lagi bertanya tentang cara mengadili pertandingan wau.
Cara Wak itu mungkin nampak lucu bagi anak muda tetapi itulah bukti betapa cintanya Wak terhadap permainan wau.
Jauh di sudut hati Wak, ada perasaan bimbang kerana menerusi pengamatannya, permainan wau semakin dilupakan anak-anak muda.

PADI sebelum dikeringkan. BAWAH KANAN: TELITI. Para peserta memantau pertandingan wau walaupun panas terik.
Bimbang permainan tradisi itu terus dilupakan, Wak tidak pernah mengira masa dan tempat untuk berkongsi ilmu wau yang ada pada dirinya dengan sesiapa sahaja. Sejak melibatkan diri dengan permainan itu secara serius 10 tahun lalu, Wak tidak berkira untuk menumpahkan ilmunya.
"Tujuan kami mengadakan pertandingan dan bengkel wau untuk anak-anak sekarang adalah kerana kami tidak mahu generasi akan datang tidak tahu wau tradisi negeri ini," ujar Wak sambil matanya mendongak ke langit melihat wau yang terbang di udara.
Bengkel
Menurutnya, sebelum pertandingan diadakan, bengkel membuat wau diberikan kepada pelajar serta pelancong yang berkunjung ke Homestay Air Manis.
Kata Wak lagi, beberapa elemen diambil kira untuk mendefinisikan kecantikan wau.
"Yang pertama, ia cantik di awan dan keduanya, ia cantik bila berada di bumi. Nak bagi wau terbang cantik pun ada teknik nak buat, semua bergantung pada kepakaran si pemain," ujar Wak.

BEBERAPA pelajar melihat paras harga beras di Kompleks Bernas Sungai Besar.
Matahari semakin menegak. Di satu sudut khemah, kelihatan kanak-kanak berpasangan dengan orang dewasa dan ketawa sambil bermain congkak.
Gelak tawa yang kedengaran itu bukan kerana pasangan itu tidak tahu bermain congkak, tetapi mungkin kerana terkenangkan zaman kanak-kanak mereka yang telah lama ditinggalkan.
Dalam pada itu, tidak lengkap pesta menuai bagi pengunjung jika tidak dapat melihat 'hala tuju' padi yang sudah dituai.
Justeru, wakil media, pelawat serta beberapa kumpulan pelajar dibawa ke Kompleks Bernas Sungai Besar yang terletak tidak jauh dari kampung berkenaan.
Di situ, kami dibawa melihat proses padi diterima daripada penduduk kampung sehinggalah ke proses akhir iaitu menghantar beras yang siap diproses kepada anak syarikat Bernas untuk dipasarkan.
Padi
Pengawal kualiti beras di situ, Fakhrurazi Marzuki memberitahu, pada peringkat pertama, padi yang dihantar perlu ditimbang di pintu masuk kompleks berkenaan.
"Setiap padi yang datang kita akan timbang dulu, lepas itu baru bawa masuk ke tempat pengeringan. Padi yang kita pegang sekarang nampak kering tetapi sebenarnya lembab. Sebab itulah kena dikeringkan di dalam tempat itu," ujar Fakhrurazi sambil membawa kami meninjau tempat pengeringan sebelum padi dipindahkan ke tempat penyimpanan.
Dengan memakai topeng mulut untuk mengelak habuk ketika melihat proses padi menjadi beras, kami juga diberitahu mengenai proses menanggalkan batang padi sehingga kepada kulit padi sebelum beras boleh dimanfaatkan.

PENDUDUK kampung tidak melepaskan peluang bermain wau di Sungai Besar.
Katanya, ada petani yang datang membeli kulit padi untuk dijadikan baja tumbuhan.
"Padi boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Beras halus yang orang tak suka pula kita ambil dan proses jadi bihun," katanya.
Sambil menunjukkan mesin yang digunakan untuk mengasingkan padi, Fakhrurazi mencelah: "Penduduk kampung tidak pernah kisah mengenai beras.
"Sebab kami sudah biasa sangat tengok beras. Tetapi di kampung ini, Kompleks Bernas inilah yang paling membuatkan pengunjung rasa teruja."
Sementara itu, beberapa pelajar dari Universiti Malaya (UM) yang mengikuti lawatan itu berpendapat, pesta selepas menuai yang diraikan penduduk kampung mampu menarik pelancong asing.
"Mungkin bagi orang kampung, mereka sudah biasa tengok padi, tuai padi dan proses padi. Tetapi bagi saya dan kawan-kawan yang tinggal di bandar, mungkin payah sikit melihat suasana begini," kata Izzudin Mohd Rosli, 19.
Peluang
Rakannya, Abdul Syakir Abdul Munir, 19, berkata, kunjungan ke homestay itu bukanlah semata-mata mahu melihat pesta menuai, tetapi beliau lebih berminat untuk melihat pengaruh konsep pelancongan homestay kepada sosioekonomi negara.
"Tidak rugi berada di sini, saya sendiri belum pernah lihat apa yang dilakukan pada padi yang dituai dan proses menjadikan padi kepada beras.
"Homestay ini memberi banyak peluang kepada kami mengenal alam dengan lebih dekat," katanya.

PROSES mengasingkan beras elok dan tidak elok.
Dalam pada itu, koordinator pesta menuai Selangor kali pertama tahun ini, Subani Marzuki memberitahu, tema Layang-Layang Untuk Perpaduan yang dipilih untuk pesta kali ini adalah kerana penganjur mahu mewujudkan perpaduan dalam lapisan masyarakat.
"Selain mempromosikan homestay, pesta ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan penduduk dan menjana ekonomi penduduk," katanya.
Pesta itu dianjurkan bersama Majlis Kebudayaan Daerah Sabak Bernam, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Persatuan Pelayang Negeri Selangor, Tourism Malaysia Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Jabatan Pelancongan Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang, Selangor.
No comments:
Post a Comment