Air Manis Homestay dikenali sebagai distinasi pelancongan berasaskan pertanian dengan kemudahan penginapan bersama keluarga angkat. Kedudukannya di Daerah Sabak Bernam menawarkan panorama sawah padi sebagai destinasi istirehat serta rekreasi yang jauh dari kesibukan kota raya.

Friday, 15 July 2011

48 jam: Indahnya Air Manis

Berita Harian. Sabtu, 10 Oktober 2009

48 jam: Indahnya Air Manis
Oleh Nor Shahfizan Hasim
Pesta menuai, main layang-layang aktiviti menarik di Sabak Bernam

SELAIN sektor perindustrian, Selangor Darul Ehsan cukup terkenal dengan hasil pertanian. Selain buah-buahan dan tanaman lain, Selangor juga menjadi antara pengeluar utama padi negara.

Setiap kali tibanya musim menuai, kemeriahan pasti terasa di desa yang mengusahakan sawah padi sebagai punca pendapatan. Lazimnya, ketika musim ini, penduduk kampung akan bergotong royong menganjurkan pesta menuai.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menghadiri Pesta Menuai Negeri Selangor 2009 yang dianjurkan Homestay Sungai Air Manis dan beberapa pihak lain seperti Majlis Kebudayaan Daerah Sabak Bernam Negeri Selangor dan Persatuan Pelayang Negeri Selangor.

Program menarik ini juga mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Sabak Bernam; Tourism Malaysia Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Jabatan Pelancongan negeri serta Politeknik Sultan Idris Shah.

Ikutan catatan ini...

Sabtu9 pagi : Selepas menempuh perjalanan hampir dua jam dari Sungai Buloh, penulis tiba di Homestay Air Manis. Wah, seronoknya! Itulah yang dirasa dalam hati sebaik melihat kehijauan desa. Kelibat penduduk kampung dan anak kecil berlari-lari riang di petak sawah membayangkan betapa damainya hidup di kampung ini.

Mengikut maklumat, pesta menuai yang bertemakan 'Layang-Layang Untuk Perpaduan' dianjurkan selepas pesawah menuai hasil tanaman.

Koordinator Jawatankuasa Pelaksana Pesta Menuai Negeri Selangor 2009, Subani Marzuki menyambut kehadiran penulis dan rakan media lain. Kami diminta bersedia menyaksikan acara pertama program ini bertempat di Parit Enam, Sungai Besar.

Bukan saja rakan media, pesta menuai kali ini juga dihadiri 12 pelajar jurusan reka bentuk dan pembuatan dari Universiti Malaya (UM).
11 pagi : Sebagai pembuka tirai temasya Pesta Menuai, pertandingan wau bagi kategori bebas dan tradisional dianjurkan dan mendapat sambutan penduduk kampung dan kawasan sekitar yang datang berkumpul. Faktor saiz, warna dan kreativiti wau menjadi perkiraan juri pada pertandingan ini.

Sorakan dan gelak tawa penonton menjadi peniup semangat bagi peserta yang bertanding. Penulis leka melihat angin yang bertiup kencang mengemudi wau membelah awan.

Penulis melihat pelbagai gelagat peserta yang kecewa akibat tali wau terputus, wau tersangkut di pokok kelapa dan menjunam jatuh ke bumi. Mengisi waktu, pertandingan congkak juga diadakan.

2.30 petang : Matahari makin terik, namun kemeriahan acara masih terasa. Penulis dan rakan media termasuk pelajar UM dipelawa menghadiri jamuan bersama Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri.

Selesai menjamu selera, kami dibawa melawat ke Kompleks Bernas di Sungai Besar yang terletak tidak jauh dari tapak acara untuk melihat lebih dekat pemprosesan padi.

5.30 petang : Bahang kehangatan pertandingan wau masih hangat. Sesekali penulis mendongak ke langit untuk melihat tari layang-layang. Menutup tirai temasya, Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Badan mula terasa letih, penulis mengambil keputusan pulang ke homestay untuk berehat.

8.45 malam : Selesai membersihkan diri, penulis bersama pelajar menuju ke persisiran sungai di Pekan Sabak Bernam untuk mengintai kelibat si kunang-kunang. Hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat kami meneruskan pencarian.

Kami kemudian meninggalkan kegelapan malam di sungai itu untuk menikmati makan malam di rumah seorang penduduk, Mohd Jamal Mohd Din. Pecal yang cukup terkenal di kalangan masyarakat Jawa menjadi pilihan utama.

Pelajar yang menjadi keluarga angkat di Homestay Air Manis, mengisi keheningan malam dengan bermain gasing dan menari tarian kuda kepang.

Ahad

9 pagi :
Hari kedua menjanjikan kelainan. Penulis menghirup udara pagi yang segar di rumah Mohd Jamal dan meninjau landskap indah di sekeliling rumah. Pokok buah mata kucing dan pokok pisang belalai gajah mencuri tumpuan.

10 pagi : Penulis, rakan media dan pelajar ditemani Wak Selamat yang membawa kami berkunjung ke ladang ternakan kambing. Ladang ini diusahakan pesara guru, Yahya Yusoff bersama anaknya, Zainizam. Pelajar turut diberi peluang memerah susu kambing.

Difahamkan, selain pulangan lumayan, susu kambing banyak khasiat dengan kandungan protein tinggi. Sempat juga kami 'bermesra' dengan kambing jantan yang begitu manja apabila dibelai.

11.30 pagi : Rasa tidak lengkap percutian ini jika tidak melawat Pantai Bagan Nakhoda Omar. Di sini, pelancong boleh menikmati desiran ombak atau menginap di kelong untuk memancing ikan.

Mereka yang hanya ingini bersiar-siar boleh mengorek pasir pantai untuk mencari kepah.

12.30 tengah hari : Dari hembusan angin pantai, kami beralih ke ladang kelapa sawit. Pelajar diberi peluang mencuba teknik memotong buah kelapa sawit dengan betul. Penulis tidak ketinggalan mencuba. Namun, niat untuk untuk meneroka ladang kelapa sawit tidak kesampaian apabila titisan hujan mula terasa. Kami pulang ke penginapan dan menanti hujan teduh.

1.30 tengah hari : Kami menikmati makan tengah hari. Hidangan nasi panas dan kari ikan yang dimasak Asnah Daud cukup menyelerakan. Sambil menantikan hujan lebat berhenti, penulis membelek kamera untuk melihat gambar yang dirakamkan.

4.45 petang : Menutup tirai percutian di Homestay Air Manis, kami mencuba sukan berkayak di tali air. Sungguh menyeronokkan, berkayak sambil melihat bendang saujana mata memandang. Kami leka sambil menanti senja yang menerbitkan aura memukau di tepi bendang.

No comments:

Post a Comment